Melupai Politik Duniawi Kembali Ke Politik Diri

 HARI ini terlalu banyak sangat kita bercakap fasal siasah; siasah kenegaraan, siasah keduniaan, siasah kehidupan, siasah kepuakan (parti-parti) dan macam-macam bentuk dan jenis siasah lagi. Tetapi ternyata kita kurang sekali bercakap mengenai siasah kedirian – mengenai diri kita peribadi. Hidup kita kadang-kadang seolah-olah hanya melihat kuman nun jauh di sebarang tetapi tidak nampak gajah yang berjoget di depan mata. Seolah-olah kita begitu obses melihat kepada kehidupan duniawi, tetapi alpa melihat kepada diri sendiri untuk menujuk ke ukhrawi?

Kedang-kadang aku sendiri tidak tahu apakah aku juga perlu bercakap fasal siasah keduniaan itu? Siasah manusia sama manusia dengan mengalpakan terus untuk melihat siasah diri aku dengan Tuhan aku. Walhal aku bukan ingin menjadi wakil rakyat yang sebahagian orang menjadikan jawatan itu sebagai sumber cari makan, sumber untuk memihara anak isteri dan keluarga. Atau menjadikan satu pekerjaan dan kerjaya untuk hidup. Bukan lagi wadah untuk melanggani siasah diri (jihad) bagi menunju ke akhirat. Jauh sekali untuk dijadikan medan dan ruang untuk berbuat kebajikan kepada Allah s.w.t. seperti mana dituntut ke atas hamba-Nya.

Sebenarnya aku sendiri sudah lama tidak yakin dengan siasah duniawi akan membawa aku ke tempat yang aman dan damai serta hakiki. Siasah duniawi dalam bacaan dan tilikkan aku adalah sebuah gelanggang kemelut. Satu medan polimek tidak ada kesudahan. Yang semuanya akan membawa ke mahsyar pertempuran kebijaksanan manusia konon.

Kebijaksanaan? Sebenanrya bagi aku ia adalah kebodohan nyata. Apa yang diistilah dan dianggap bijak itu adalah bodoh. Sebab bijaksana ialah berhak digunapakai kepada mereka yang berfikir untuk membawa kebaikan, perdamaian, menghentikan perang, membangun dunia dan membangun dunia diri peribadi orang itu sendiri yang seterusnya membebaskan dia dengan Allah. Maksud bebas di sini menghalangkan dia dari hijap-hijap dia sebagai mahkluk dengan penciptanya. Tanpa hilang hijap ini hamba tidak akan dapat ‘berjabat’ tangan dengan penciptanya. Selamanya hanya Dia yang mengenali kita tetapi tidak ada timba balas mengenalinya.

Bukan bijaskana kalau boleh menjatuhkan kawan di dalam gelanggang atau di luar gelanggang. Bukan bijaksana kalau hanya membina kekuatan duniawi diri sendiri. Bukan bijaksana kalau mendapat mandat tetapi tidak digunakan mandat untuk membantu menyelesaikan segala tuntutan ke arah menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran. Bukan bijaksana kalau diri kita dan kroni saja kaya, senang, sedangkan rakyat dan masyarakat miskin papa kedana dan hidup melarat merempak. Kebijaksanaan siasah begitu adalah kebodohan dan kebongakkan!

Jadi setelah aku menyedari dan menolak siasah sedemikian sejak lebih 25 tahun lalu kenapa aku masih perlu bercepuah dengan selut hanyir siasah keduniaan demikian? Bukankah aku melakukan sesuatu yang sia-sia. Tidakkah melakukan yang sia-sia, bukan haq dan mengcapai hakiki itu perbuatan syaitan? Ke bumi tak jejak ke langit tak capai. Bukakah begitu?

Aku sering berkata dan menjelaskan kenapa aku tidak percaya kepada siasah duniawi atau kebendaan ini kerana ia tidak boleh memberi keselamatan baik duniawi dan ukhrawi. Mudah saja analogi aku. Sesuatu yang baik, jernih, hak, mutlak dan benar itu tidak akan lahir dari sistem yang kotor, jumud, jahat, bernoda. Anak yang baik akan lahir dari benih yang baik. Aku sering berkata, anak ayam itu tidak akan menetas dari telor itik kandatipun ianya diram oleh ibu ayam. Kalau telor itu telor itik, seribu kali diram oleh ibu ayam yang akan tetas nanti adalah anak itik juga.

Berdasar logik itu maka aku tidak percaya kalau sistem demokrasi yang digunakan untuk mentadbir negara hari ini dapat membawa kebaikan, kepada ummah manusia. Makanya selama ini baik aku atau sesiapa yang menerima pakai sistem berkenaan tertipu hidup-hidup. Mengharap kesejahteraan duniawi dan ukhruwi daripada sistem demokrasi samalah mengharapkan air di tengah padang pasir. Fotomorgana sama sekali tidak boleh menghilangkan haus yang meleket-leket di tengok si musafir di padang pasir.

Adalah amat bodohnya aku kalau meneruskan sesuatu yang aku sudah pastikan ianya sia-sia. Orang yang menanam angin ia akan menunai asap. Manakala orang yang menanam mimpi dia akan menunai khayal. Manusia sebegini adalah serendah dan sekosong-kosong manusia. Manusia sebegini jauh daripada menempati apa yang Khaliq jelaskan dalam surah At Tin ayat 4  yang bermaksud: “Sesungguhnya kami telah jadikan manusia itu dengan sebaik-baik kejadian”.

Kemuliaan itu hanya pada pernyataan. Pada pengakuan Penciptanya tetapi bukan pada diri manusia itu. Ia tidak boleh menganggap dirinya mulia, agung, hebat daripada makhluk lain sekiranya ia tidak mengetahui erti dan makna kemuliaan itu. Lebih sedih lagi kalau ia tidak dapat mengembalikan kemuliaan itu kepasda Khalaqnya sendiri. Makanya taraf dan tahap kemuliaan makhluk sedemikian samalah dengan makhluk lain yang tidak dinyatakan sebagai mulia. Sama dengan kucing, lembu, kerbau, ayam, itik, gajah, harimau dan lain-lainnya.

Bab kehampaan kemuliaan diri yang tidak diketahui hakikatnya ini samalah nasib seseorang yang hanya mengakui keindahan sesebuah bandaraya di dunia ini daripada pembacaan, melihat video, youtube dan maklumat umum. Misalnya ia mengetahui betapa indahnya bandar raya San Francisco, Colifornia menerusi foto dan video. Betapa mata dan akalnya dapat mengkhayalkan itu namun keindahan sebenar tidak dapat dinikmati secara fizikal selagi ia tidak pergi sendiri ke Amerika Syarikat untuk melihat ketakjuban bandaraya berkenaan. Setelah dia sampai dan melihat sendiri kelipan neon di San Fransicso itulah baru keindahan yang dikisahkan itu dapat disahkan.

Jadi adalah elok kalau aku hendak, atau kurangkan bercakap mengenai siasah keduniaan itu. Anggaplah atau biarkan persoalan siasah keduniaan itu kepada manusia lain yang gila dan mabuk mengenainya. Serahkan siasah kepada si gila kebudayaan dan keseniaan! Biarlah dia zouk di dalamnya. Kalau dia menggilai rebana atau kertuk biarlah ia memalu dan memukul rebana itu sampai jari jemarinya pecah dan melecur. Kesakitan itulah nikmat baginya meskipun ia sesuatu yang mudaratkan. Biarlah dia memukul rebana itu sampai kain sarung terlondeh dan mendedahkan rahsia dirinya. Itulah kepuasan baginya walaupun kepuasan itu menjatuhkan martabat dan moralnya.

Maka aku rasa sudah sampai kalau aku memalingkan perbicaraan kepada soal ini. Soal siasah kedirian pula dalam rangka persiapan membangun kerajaan peribadi. Biarlah siasah duniawi untuk membangun kerajaan dunia diserahkan kepada si gila dan si mabuk itu semuanya. Uruslah. Lagipun hidup ini ada bahahagian masing-masing yang telah ditetap dan ditentukan Tuhan mengikut qadar dan qadak-Nya. Mengikut keadaan dan masa-masanya.

Sesungguhnya aku sudah terlali sangat jauh. Sudah hampir tidak kelihatan pengkalan sejati – pengakhiran dan kebenaran kehidupan yang ingin ditujui. Ini semua ialah kerana adanya kabus dan asap merentang lautan perjalanan yang mengelirukan mata dan membiuskan ilusi. Pun begitu aku masih bernasib baik kerana tidak teroleng-oleng jauh ke arah tipuan angin ribut yang bergerak tanpa haluan itu. Masih tersedar dan bungkam membetulkan semula layar dan menegakkan kompas perjalanan menuju kiblat kebenaran.

Dikerana terlalu obses kepada pembangunan duniawi, siasah kenegaraan dan keduniaan sehingga terlupa kepada kepentingan diri. Alpa kepada siasah diri untuk membentuk kerajaan peribadi. Kerajaan peribadilah yang bakal membawa kita ke alam damai. Apabila kita sudah berjaya membentuk kerajaan peribadi maka barulah bebas dan merdeka dari segala kuasa.

Kerajaan peribadi umpama bekas untuk masa depan kita. Bekas ini adalah sangat penting dan perlu diutamakan. Perjuangan untuk membangun kerajaan peribadi ini perlu diutamakan dan lebih afdal. Kerajaan peribadi umpama bekas besar untuk kehidupan yang lebih besar kelak. Bekas ini perlu dipersiapkan sebelum adanya isi untuk meletakkannya.

Umpamanya kita harus menyediakan sangkar, sebelum mencari burung. Kerja-kerja mengikut peraturan ini mudah. Kerana kalau mencari burung dulu baru hendak berbuat sangkar, bukankah ianya menyusahkan kita. Waktu mana kita hendak buat sangkar, dan waktu mana hendak memegang burung.

Hendak tidak hendak terpaksa meletakakan burung dalam guni sementara sangkar belum siap. Atau sebelah tangan memegang burung dan sebelah tangan membina sangkar.  Bukankah itu satu kekejaman! Meletakakan burung dalam guni, yang terhimpit-himpit dan terkampit satu kezaliman. Zalim itu bertentangan dengan sifat-sifat dan perjuangan dituntut oleh Allah yang menuntut kebebasan dan keadilan. Lagipun orang yang bekerja tidak mengikut peraturan akan membeban dan menyusahkan diri. Dan orang membebankan dirinya sendiri tak ubah seperti kaldai yang mengangkat air bertahun-tahun untuk tuannya di atas gunung sedang dia tetap juga meminum air dari parit atau lopak di cerung huma.

10 Zuhijjah 1430 : Jumaat.

Explore posts in the same categories: Uncategorized

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.