Proses Untuk Menjadi Ahli Siasah Diri
SYARAT atau peraturan untuk menjadi ahli atau member siasah diri tidak rumit dan tidak banyak bahkan, tidak pun memerlukan syarat yang tidak memungkinkan sesiapa saja untuk tidak dapat hendak menjadi ahlinya. Sesiapa saja boleh ‘mendaftar’ menjadi ahli. Tidak ada syarat-syarat tertentu yang perlu dipenuhi. Ia juga tidak memerlukan yuran. Tidak payah pencadang dan penyokong. Tidak payah menyertai cawangan, bahagian, cabang atau kawasan. Tidak payah menghadiri mesyurat peringkat negeri dan kebangsaan. Tidak ada korum tertentu untuk melayakkan tertubuhnya ‘cawangan’ siasah diri di dalam diri seseorang.
Keahliannya terbuka sesuai dengan dasar langit terbuka dan global yang menuntut manusia agar mendalami semua aspek ilmu.
“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah yang paling pemurah, yang mengajar (manusia) dengan perantara kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.” Surah al-Alaq ayat 1 hingga 5.
Pengerti baca di sini menunjukkan kebebasan, keadilan dan kebenaran. Sesiapa yang inteligen akan dapat menikmati apa yang dibentangkan Tuhan atas dunia ini. Bahawa ilmu itu sangat luas dan ia diberikan percuma kepada sesiapa yang pandai mengambil kesempatan darinya.
Kerana itu sesiapa yang membaca, mengkaji, menyelidik, merumuskan ia akan mendapat manfaat besar. Ia akan mendapat sesesuatu yang orang lain tidak dapat. Ghalibnya mereka yang senang, berlapang dada dan tidak mudah sesak nafas itu ialah mereka yang suka dan banyak membaca!
Mengenai keahlian siasah diri dan ukhrawi ini, kalau pun boleh dikatakan syarat, syaratnya hanya satu sahaja. Iaitu asalkan dia manusia (insan) ia boleh menjadi ahli siasah diri secara automatik. Dia boleh mendaftarkan diri terus secara on line untuk menjadi anggotanya dan mengikhtiraf dirinya sendiri.
Keperluan paling minimum ialah dia manusia, yang ada kesedaran alias keimanan. Yang mengenali dirinya, kenal akan dia adalah makhluk Allah. Kepunyaan Allah. Hidup dan matinya kerana Allah. Tahu tanggungjawab dan amanah yang pencitpa serahkan kepadanya.
Hanya manusia sebegini yang layak menjadi ahli siasah diri. Manusia. Saya tegaskan manusia. Bukannya orang. Orang adalah satu perkara berbeza dengan manusia. Sesetengah kita mengira manusia dan orang itu adalah makhluk yang sama. Sebenarnya tidak. Orang bukan manusia dan manusia itu bukan orang! Anih ya? Inilah perbicaraan dalam siasah diri penuh dengan keanihan dan keluarbiasaan. Mari kita berfikir daripada kebiasaan kepada keluar biasaan bagi mencari sesuatu yang luar biasa atau hakiki. Selama itu kita berfikir menurut kelaziman maka selama itulah juga kita tidak berkembang dan tidak dinamik.
Apakah bezanya orang dengan manusia? Dari segi anggota tubuh badan sama sahaja. Orang ada dua kaki, manusia ada dua kaki. Orang ada satu hidung manusia juga begitu. Begitu juga dengan pancaraindra-pancaindra lain. Tetapi kalau kita mendalami, akhirnya kita akan tahu juga perbezaan antara manusia dengan orang ini. Ia satu perbezaan yang realtif.
Sebenarnya diri kita ini berlapis-lapis ada sekurang-kurang tiga lapis atau tujuh lapis atau pun mempunyai lapisan yang tidak terbilang.
Bulu-bulu, kulit, urat (otot), darah dan daging. Itulah komponen fizikal (jirim) kita yang dinamakan orang. Sebaliknya manusia mempunyai lapisan yang halus dan zeni lagi tidak berjirim dan berjisim! Ada nafas, nyawa, (tanafas) dan ada akal ada jiwa dan roh. Kita kadang-kadang jarang memikirkan hal ini. Apa yang kita tahu hanya nafas, tanafas atau akal saja tetapi tidak mahu berfikir soal roh. Apakah roh?
Kita selalu nampak perbezaan kita dengan haiwan ialah mereka ada otak tetapi tidak ada akal. Manusia pula ada keduanya sekali. Tetapi jangan pelik ada manusia (sebenarnya orang) yang ada otak sebesar otak lembu tetapi tidak mempunyai akal? Orang begitu sama darjahnya dengan haiwan.
Mengenai makhluk bernama ‘orang’ ini ia tidak akan membawa dirinya ke mana. Selepas terpisah nyawa (roh) dengan jasad maka orang akan tinggal reput dan sirna ditelan bumi. Makanya ia tidak layak menjadi ahli siasah diri. Orang hanya sesuai menyertai siasah duniawi, menyertai parti-parti politik yang ada di dunia ini yang tergila-gila membangunkan dunia semata-mata.
Kerana itu orang ini dijadikan momokkan menjadi ‘orang-orang’ yang berguna untuk menghalau unggas dan burung yang makan padi di sawah. Pergi ke sawah yang duk tercegak di tengah sawah mendepa tangan dan pakai topi robek dengan muka berjerabu… itulah orang-orang.
Orang adalah hantu tidak lebih daripada itu. Makanya hantu tidak layak untuk menjadi ahli siasah ukhrawi!
Orang tidak sanggup menerima rahsia dan amanah Allah, melainkan manusia yang hebat dan ego, sedia menerima amanah Allah. Takala Allah hendak menyerahkan rahsia alam ini, (di luh mahfuz) hanya manusia yang menyatakan kesediaanya. Allah tawarkan kepada bukit bukau, gunung ganang, semuanya menolak. Tetapi bila ditawar kepada manusia, manusia sanggup. Gara-gara keegoaan itulah manusia dipandang mulia dan mempunyai khazanah rahsia Allah yang banyak.
Peristiwa ini tertuang dalam firman Allah surat Al-Ahzab ayat 72: ”Sesungguhnya kami telah menawarkan amanah kepada langit, bumi, dan gunung-gunung, tetapi semuanya menolak, dan mereka merasa berat serta khawatir akan menghianati amanah tersebut. Lalu amanah itu diterima oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh.”
Sebenanrnya disebabkan kita ego dan agah menerima rahsia itulah menyebabkan kita jadi seperti hari ini. Suasah. Tidak seperti laut, gunung ganang dan binatang. Kita kena jadi khalifah, memimpin dunia ini. Sebab itu kita memakan tanaman, haiwan dan mereka tidak memanfaatkan kita untuk menjadi habuannya. Disebabkan kerana ego itu jugalah menyebabkan kita dianggap mulia pada sisi Tuhan.
Penerimaan amanah itu disusuli terlebih dahulu dengan persaksian manusia dengan Tuhannya di alam azali – luh mahfuz. Tuhan telah menanyai manusia apakah aku ini Tuhanmu, maka jawab manusia bahkan, (benar) kaulah Tuhanku. Manusia (kita) telah memperakui Dia adalah Rabb, manusia telah mempersaksikan itu di luar duniawi ini lagi.
Persoalan kini ialah kita mahu kembali kepada suasana yang asal itu. Dalam fitrah kita dalam bersih, luhur dan kudus. Mahu mengembalikan diri seperti mana sebelum dizahirkan ke dunia ini. Di mana kita pada waktu itu dalam keadaan putih bersih laksana bayi yang belum ternoda dengan noda duniawi.
Hanya dengan menyertai siasah diri ini saja memungkinkan kita dapat mengembalikan kita kepada fitrah asal. Adapun siasah duniawi seperti mana hari ini tidak menjamin untuk membawa kita ke gerbang itu. Pengisian, aktiviti siasah duniawi tidak terarah kepada itu. Malahan kita makin kotor dan makin bergeluamang dengan selut duniawi dan kesombongan amarah yang menggunung.
Siasah dunaiwi ini hanya layak untuk membawa kita jauh dari pada keadaan itu.
13 Zuhijjah 1430.
December 1, 2009 at 3:32 pm
tak larat nak baca. bahasa tinggi banyak berfalsafah
December 4, 2009 at 11:11 am
alhamdulillah. penuh dengan persoalan di fikiran ku.
December 17, 2009 at 8:33 am
fikirlah dengan menggunakan otak bukannya fikir dengan menggunakan kepala
kalau tak lalu dan tak larat, jangan sengajakan diri dengan membuang masa
December 22, 2009 at 11:58 pm
Assalamualaikum.
Syabas,..saya sangat tertarik dengan ruangan baru sdra MSO ini kerana ia sesungguhnya dapat mencanai minda bagi orang yang ingin kembali kepada fitrah manusia yang azali di allah.swt.
t.kasih.
23/12/2009
7.58 am. Keningau,Sabah.