Apa Yang Perlu Dilakukan Setelah Menjadi Ahli Siasahdiri?
KALAU sebagai ahli siasah duniawi seseorang itu perlu bertanggungjawab untuk memperkasakan badan siasahnya maka begitu jugalah dengan siasah ukhrawi. Kalau sebagai ahli siasah duniawi seseorang ahli itu harus menjaga tatacara siasah berkenaan, ahli kena jaga intergriti siasah dan diri sendiri. Ahli kena tunjukkan perangai baik dan menjadi model kepada ahli-ahli lain, ahli kena mencerminkan sejauh mana intergriti dan wibawa sesebuah badan siasah itu agar menjadi ikutan dan teladan ahli lain. Nah.. begitu jugalah dengan siasah diri. Ahli kena berperanan untuk memperkasakan cawangan siasah diri dalam dirinya. Dalam konteks ini hati dan akal kena menjadi role model kepada anggota lain.
Apakah yang harus dilakukan?
Dalam hubungan ini seseorang itu kena jaga diri bathinnya. Bukan saja untuk mempamerkan kebaikan, akhlak, tetapi hendaklah menghayati kebaikan dan akhlak itu. Penghayatan ini bukan di depan publik, tetapi tatkala bersendirian juga. Kalau hanya menunjuk di depan umum itu namanya munafik. Malahan penghayatan tatkala bersendirian ini lebih penting dan awla. Maksudnya kalau kita hendak beramal biarlah alam dan mahkluk lain tidak mengetahui yang kita sedang beramal.Apa dimaksudkan di sini beramal, berbuat baik bukan untuk ditunjuk tetapi untuk dinilai dan dirahmati.
Setiap ahli juga harus bertanggunjawab dan berperanan demikian. Cawangan siasah diri dalam diri perlu diperkuatkan sepanjang masa. Jika tidak diperkuatkan ia tidak memberi apa-apa makna. Maksud untuk membentuk kerajaan peribadi dan untuk memerintah sendiri tidak akan berlaku. Kerajaan peribadi menerusi siasah ukhrawi akan terbentuk apabila kita dapat menguasai diri kita – membentuk Kerajaan Peribadi.
Untuk tujuan ini beberapa perkara dilakukan. Perkara paling pokok ialah membersihkan diri. Menyucikan diri zahir dan diri batih, rohani dan jasmani. Selepas kita kenal diri, tahulah untuk membersih diri. Ruang mana dan tempat mana yang kita perlu bersih. Mana-mana anggota yang perlu disamak kemudian disucikan.
Bila sebut bersih, apakah peralatan, sabun, dan perkakas untuk membersihkannya. Umpama mencuci sesuatu benda, kalau tidak menggunakan penyental ia tidak akan bersih dan suci. Lumut dan daki akan tetap kemen dan mati di situ.
Sebelum kita berbicara soal alat-alat untuk memberikan diri, elok kalau kita mengenali apakah kekotoran di dalam diri. Diri yang kita anggap mulia ini sebenarnya kotor dan cemar penuh dengan noda dan dosa. Manusia memang mulia, tetapi kalau tidak kena gaya, manusia itu akan menjadi sehina-hinanya lebih hina daripada binatang.
Selain daripada akal, jiwa dan roh dalam diri kita ada nafsu. Nafsu adalah menjadi engin kepada pergerakan kita. Kemahuan, selera, keinginan, seksual adalah nafsu yang merajai diri kita. Tanpa nafsu kita menjadi lesu dan tidak bergerak seperti kayu mati dan tanah kol.
Nafsu ini ada tujuh peringkat atau tujuh nama. Ia dibahagikan kepada tahap-tahap berikut. Ia seperti sebatang pokok bermula dari akar sampailah ke pucuk yang menjulang langit. Komponen nafsu ini harus dikenali satu persatu membolehkan kita tahu dan bagaimana untuk menggunakan nafsu untuk melayari kehidupan lebih bererti. Bila kita mengenalinya mudahlah juga untuk kita mengenali tahap dan martabat diri kita. “Sesungguhnya Kami telah mencipta ke atas dirimu tujuh jalan (nafsu) dan Kami tidaklah lengah terhadap ciptaan”, Surah Al Muminum ayat 17.
1. Amarah
Nasfu yang dikatakan paling jahat. Sebenarnya tanggapan itu salah. Tidak ada kejahatan dalam apa-apa juga kejadian Allah kepada kita. Kerana nafsu inilah yang membuka selera kita untuk dunia. Nafsu akan menterjemahkan tingkah laku hati – dalaman kita. Nafsu ini akan mempamerkan perangai dan segala sifat mazmumah yang terhimpun dalam diri kita baik secara sedar atau pun tidak. Kerana nafsu inilah juga kita melata di atas dunia ini.
2. Lawamah
Nafsu ini ibarat pemberi isyarat. Ia bertindak menjadi penilai antara sifat buruk dan baik. Ia juga boleh dianggap sebagai penapis atau filter dalam diri. Selalunya nafsu ini akan menyaring sifat-sifat buruk dan sifat baik yang diwujudkan oleh amarah.
3. Mulhamah
Mulham tingkat nafsu ketiga. Tingkat Mulham ini berkedudukan lebih baik daripada dua nafsu di atas. Nafsu ini selalunya dimiliki oleh mereka yang sedang mencari jalan menuju hakiki. Para ahli syariat, tariqat, hakikat dan marifat. Mereka yang dikuasi nafu ini berlebihan menjadikan mereka tidak berapa peduli kepada soal keduniaan. Ahli zikir biasanya lebih hampir dan dikuasai nafsu ini.
4. Mutmainah
Peringkat nafu yang membawa seseorang itu tenang dan damai. Inilah nafsu yang tenang dan didambakan banyak manusia. Mereka yang menduduki peringkat nafsu ini tidak berserabut dengan dunia. Sifat-sifat mazmumah sudah terhindar dari dirinya. Rasa bimbang, takut, gobal dan resah kepada soal hidup sudah tidak ada lagi kepada mereka yang sampai ke martabat nafsu ini. Seseorang mencapai makam nafsu ini akan menyerahkan kehidupan seratus peratus kepada Allah, penciptanya.
5. Rodhiah
Rodiah nafsu ke lima adalah terhasil kepada dari proses ke empat nasfu di atas. Pemilik nafsu ini ianya umpama sebuah kolam yang airnya jernih. Kejernihan itu bukan saja dapat mengembalikan bayangan, tetapi dapat melihat ke dasar kolam berkenaan. Diri orang Rodiah bolehlah disifatkan sebagai sekeping cermin besar yang boleh menampakkan sejuta wajah dari dalamnya. Nafsu inilah yang mengenalkan diri seseorang dengan dirinya sendiri.
6. Mardiah
Nafsu yang mana menjadikan seseorang itu sudah hilang dari pandangan dunia ini. Pemiliknya atau mereka yang mencecah ke tahap ini tidak lagi merasakan hidup di atas dunia maya ini. Dia juga menjadi gila atau zouk dengan keasyikan yang dia sendiri yang mengetahuinya. Justeru itu ia akan dianggap sebagai manusia yang tidak normal. Sifat, kelakuan dan fiil perangainya bertentangan naluri manusia amarah.Keadaan ini menjadikan pemilik nafsu ini akan disalah anggap.
7. Kamaliah
Adalah kemuncak kepada tahap nafsu. Jika nafsu itu diibaratkan sebagai sebuah gunung, Kamaliah adalah puncuk gunung berkenaan. Tempat paling tinggi, paling besar, paling hebat sehingga berada di atasnya dapat melihat setiap lembah, gaung, dataran, lautan dan sebagainya.
Kamaliah adalah kemenangan dalam kehidupan seseorang makhluk bernama manusia. Setelah kita mengenali martabat atau tingkat nafsu itu maka senanglah untuk kita melakukan pembersihan dan penyuciannya. Maka sebelum kita mencari alat untuk menyucikan diri kenali dulu bahagian atau komponen yang ingin kita suci dan samakan. Apabila kita mengetahui tahap dan martabat nafsu itu maka dapatlah kita mengukur keadaan dan kondisi diri kita.
21 Zulhijjah 1430 : Selasa.
December 10, 2009 at 7:22 pm
Tahniah sdra MSO di atas inisiatif mengasaskan satu blog baru yang menghidang SANTAPAN ROHANI, menu yang amat sukar untuk ditemui di pasaran.
Malah sudah tidak dihidangkan lagi di markaz-markaz atau gerai-gerai milik PAS.
Semoga usaha murni sdra mendapat kenerkatan Allah swt.