Mengenali Hati Dan Seketul Daging
SIASAH duniawi dikejutkan dengan kehilangan dua enjin pesawat tempur milik TUDM Ahad lalu. Pemerhati dan ahli siasah duniawi terkejut dan terkesima dengan kejadian itu. Ada yang menggeleng-gelengkan kepala memikirkan macam mana alat kententeraan yang dijaga rapi boleh dibawa keluar dan dilarikan.
Sebenarnya kejadian itu tidak sedikit pun menghairankan. Bukan saja kejadian kehilangan enjin pesawat berharga RM100 juta itu, tetapi banyak lagi kejadian anih dalam halaman siasah duniawi berlaku. Ia tidak mengejutkan. Kejadian jelek dan hina begitu akan terus berlaku dari masa ke semasa yang bukan saja memusnahkan dunia tetapi juga ada kalanya boleh memansuhkan perjanjian diri manusia dengan Tuhannya.
Selagi setiap dari diri manusia atau ahli siasah duniawi itu tidak bersih, tidak suci, tidak ikhlas, tidak tulus, tidak redha, tidak qanaah dan tidak kenal diri sendiri dan jahil murakab mengenai sifat-sifat ketuhanan, ia akan berlaku dan berlakulah mengikut waktu dan jaraknya.
Kita hanya perlu menunggu masa saja untuk menyaksikan apa saja kejadian dan perbuatan-perbuatan yang bakal lahir nanti atau dilakukan oleh mereka yang diseliputi sifat mazmumah. Musibah daripada ahli siasah duniawi umpama bom jangka yang boleh meletup bila-bila masa saja.
Kenapa dan bagaimana situasi ini boleh berlaku? Kejadian atau perbuatan jahat ini hanya dilakukan oleh mereka yang memiliki sekeping hati diri yang jahat dan busuk serta berani yang tidak bertempat! Dalam erti kata lain mereka yang mengabaikan amanah diri mereka sendiri dan memungkiri ikrar dengan Allah, dipengaruhi pula nafsu amarah yang tebal.
Hati yang baik tidak akan tergamak melakukan perbuatan yang bertentangan dengan normal-normal manusia yang digariskan dalam syariah. Hati yang baik akan senantiasa membimbing dan mengawal diri ke arah berkebajikan dan amal soleh.
Semua kejadian-kejadian keji dan jijik seperti pencurian harta negara itu, mencerca sesama sendiri atau merasa akulah hebat dan akulah hero berpunca daripada hati. Hatilah yang akan menentukan sesuatu niat yang kemudian dipraktikan dengan perbuatan itu sama ada baik atau jahat. Kalau hati jahat maka perbuatan itu akan keji, kalau hati itu baik maka akan baiklah aktivitinya.
Kandatipun manusia ada otak dan akal tetapi hati yang menjadi pemandu kepada otak dan akal. Otak dan akal melaksanakan apa yang diingini atau diarahkan oleh hati. Otak dan akal hanya abdi kepada hati yang bertindak menjadi raja atau presiden diri.
Dalam konteks ini peranan hati cukup penting dan cukup besar sekali. Hati bolehlah diibaratkan sebagai stereng kepada sebuah kereta kepada diri kita yang akan menentukan ke mana arah dan pergerakan kita dalam melayari kehidupan atas muka bumi ini.
Seluruh pergerakan diri kita dipandu oleh hati. Persis stereng kereta itu kalau ianya dipusing ke kiri maka badan kereta itu akan mereng ke kiri kalau dipusing ke kanan ia akan mereng ke kanan. Dan kalau ia ditegakkan maka badan kereta itu akan mendorong ke depan menuju ke jalan hakiki. Hanya berada atas jalan hakiki sahaja yang memungkin seseorang itu akan tiba keribaan Khaliqnya.
Nah.. begitu juga dengan hati kita, ia akan memandu perjalanan hidup kita. Ia akan meremote diri kita. Hatilah yang akan menentukan ke manakah kaki kita hendak melangkah. Hatilah menentukan apa yang tangan hendak pegang atau sentuh. Hatilah yang akan mengarahkan telinga untuk mendengar. Hatilah yang merangsang mata untuk melihat. Hatilah mendorong hidung untuk menghidu. Dan hatilah juga yang akan membisikan berbagai keinginan dan kemahuan kepada seluruh anggota kita.
Menginsafi ini; peranan, fungsi dan tanggungjawab hati kepada kehidupan kita adalah penting sekali. Justeru maka hati harus dijaga, dikawal, dibersih demi memastikan kebaikan diri kita. Mengenai hati ini ada ditegaskan dalam maksud sebuah Hadith yang berbunyi;
“Sesungguhnya dalam tubuh jasad anak Adam itu ada seketul daging bila baik nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan bila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah! iaitulah Qalbu (hati).” – Maksud Hadis.
Kalangan ahli hakikat dan makrifat menyifatkan hati ini sebagai istana Iblis. Gambaran yang hendak ditunjukkan betapa hati ini sangat kotor dan terdedah kepada kejahatan dan kejelekan yang mana ia perlu diawasi dan dijaga serapinya sepanjang masa. Hati adalah anggota badan yang sangat sensitif dan menjadi idaman kepada pelbagai virus untuk bertapak dan menghancurkan sistem diri.
Sekiranya seketul daging ini tidak dijagai dan diawasi maka ia akan selamanya ditakluki Iblis dan sekiranya ini berlaku maka kita akan dipandu bukan lagi oleh hati nurani tetapi dipandu oleh Iblis. Iblis pula tugas dan tanggungjawabnya ialah mengajak kejahatan – menyekutu Allah, mensyirikan Allah dan memberi ilham dan idea melakukan kejahatan dan kemusnahan kepada keharmonian hidup manusia sesuai dengan janjinya kepada Tuhannya.
Mungkin bila disebut hati dan menterjemahkan maksud hadith diatas itu kita akan menghalakan pemahaman kita kepada seketul daging seberat setengah kilo yang terletak di dalam tubuh di bahagian dada kita itu. Apakah itu yang dimaksudkan hati? Dan hati (seketul daging) itukah yang perlu dibersihkan, disuci dan disemakkan dengan menggunakan air dari telaga al-Kausar!
Sekiranya itulah hati yang difahami mungkin ia mudah untuk dikerjakan – dalam membersihkan diri dari mengelak dikuasai oleh kejahatan. Kita boleh saja membedah tubuh kita untuk membersihkan ketulan daging itu dari segala macam kotoran. Mudahkan?
Tetapi hati yang disebutkan Qalbu atau Qalbun itu bukan daging seketul seberat setengah kilo itu sebenarnya. Seketul daging itu hanya simbolik kepada Qalbun tetapi itu bukan hati yang hakiki. Ia hanya sebahagian komponen diri fizikal saja yang berperanan untuk mencernakan diri kita dengan fungsi-fungsi fizik secara biologis.
Adapun apa yang dimaksud hati atau Qalbun yang memiliki berbagai rasa; sedih, hiba, gembira, bahagia, bangga, takut, cemas yang bertindak menjadi stereng itu bukan daging seketul itu. Apa apa yang dimaksudkan dengan hati itu adalah rasa-rasa, perasaan yang menguasai seluruh diri kita itu.
Rasa-rasa dan perasaan inilah yang disebut hati atau pun intipati atau stereng kepada diri kita – hati nurani. Rasa, perasaaan, naluri, semangat, jiwa, keinginan dan apa-apa inilah yang bercantum kemudian menjadi hakiki hati.
7 Muharam 1431 : Khamis.