Mengenali Hati Dan Seketul Daging

Posted December 24, 2009 by siasahdiri
Categories: Uncategorized

SIASAH duniawi dikejutkan dengan kehilangan dua enjin pesawat tempur milik TUDM Ahad lalu. Pemerhati dan ahli siasah duniawi terkejut dan terkesima dengan kejadian itu. Ada yang menggeleng-gelengkan kepala memikirkan macam mana alat kententeraan yang dijaga rapi boleh dibawa keluar dan dilarikan.

Sebenarnya kejadian itu tidak sedikit pun menghairankan. Bukan saja kejadian kehilangan enjin pesawat berharga RM100 juta itu, tetapi banyak lagi kejadian anih dalam halaman siasah duniawi berlaku. Ia tidak mengejutkan. Kejadian jelek dan hina begitu akan terus berlaku dari masa ke semasa yang bukan saja memusnahkan dunia tetapi juga ada kalanya boleh memansuhkan perjanjian diri manusia dengan Tuhannya.

Selagi setiap dari diri manusia atau ahli siasah duniawi itu tidak bersih, tidak suci, tidak ikhlas, tidak tulus, tidak redha, tidak qanaah dan tidak kenal diri sendiri dan jahil murakab mengenai sifat-sifat ketuhanan, ia akan berlaku dan berlakulah mengikut waktu dan jaraknya.

Kita hanya perlu menunggu masa saja untuk menyaksikan apa saja kejadian dan perbuatan-perbuatan yang bakal lahir nanti atau dilakukan oleh mereka yang diseliputi sifat mazmumah. Musibah daripada ahli siasah duniawi umpama bom jangka yang boleh meletup bila-bila masa saja.

Kenapa dan bagaimana situasi ini boleh berlaku? Kejadian atau perbuatan jahat ini hanya dilakukan oleh mereka yang memiliki sekeping hati diri yang jahat dan busuk serta berani yang tidak bertempat! Dalam erti kata lain mereka yang mengabaikan amanah diri mereka sendiri dan memungkiri ikrar dengan Allah, dipengaruhi pula nafsu amarah yang tebal.

Hati yang baik tidak akan tergamak melakukan perbuatan yang bertentangan dengan normal-normal manusia yang digariskan dalam syariah. Hati yang baik akan senantiasa membimbing dan mengawal diri ke arah berkebajikan dan amal soleh.

Semua kejadian-kejadian keji dan jijik seperti pencurian harta negara itu, mencerca sesama sendiri atau merasa akulah hebat dan akulah hero berpunca daripada hati. Hatilah yang akan menentukan sesuatu niat yang kemudian dipraktikan dengan perbuatan itu sama ada baik atau jahat. Kalau hati jahat maka perbuatan itu akan keji, kalau hati itu baik maka akan baiklah aktivitinya.

Kandatipun manusia ada otak dan akal tetapi hati yang menjadi pemandu kepada otak dan akal. Otak dan akal melaksanakan apa yang diingini atau diarahkan oleh hati. Otak dan akal hanya abdi kepada hati yang bertindak menjadi raja atau presiden diri.

Dalam konteks ini peranan hati cukup penting dan cukup besar sekali. Hati bolehlah diibaratkan sebagai stereng kepada sebuah kereta kepada diri kita yang akan menentukan ke mana arah dan pergerakan kita dalam melayari kehidupan atas muka bumi ini.

Seluruh pergerakan diri kita dipandu oleh hati. Persis stereng kereta itu kalau ianya dipusing ke kiri maka badan kereta itu akan mereng ke kiri kalau dipusing ke kanan ia akan mereng ke kanan. Dan kalau ia ditegakkan maka badan kereta itu akan mendorong ke depan menuju ke jalan hakiki. Hanya berada atas jalan hakiki sahaja yang memungkin seseorang itu akan tiba keribaan Khaliqnya.

Nah.. begitu juga dengan hati kita, ia akan memandu perjalanan hidup kita. Ia akan meremote diri kita.  Hatilah yang akan menentukan ke manakah kaki kita hendak melangkah. Hatilah menentukan apa yang tangan hendak pegang atau sentuh. Hatilah yang akan mengarahkan telinga untuk mendengar. Hatilah yang merangsang mata untuk melihat. Hatilah mendorong hidung untuk menghidu. Dan hatilah juga yang akan membisikan berbagai keinginan dan kemahuan kepada seluruh anggota kita.

Menginsafi ini;  peranan, fungsi dan tanggungjawab hati kepada kehidupan kita adalah penting sekali. Justeru maka hati harus dijaga, dikawal, dibersih demi memastikan kebaikan diri kita. Mengenai hati ini ada ditegaskan dalam maksud sebuah Hadith yang berbunyi;

“Sesungguhnya dalam tubuh jasad anak Adam itu ada seketul daging bila baik nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan bila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah! iaitulah Qalbu (hati).” – Maksud Hadis.

Kalangan ahli hakikat dan makrifat menyifatkan hati ini sebagai istana Iblis. Gambaran yang hendak ditunjukkan betapa hati ini sangat kotor dan terdedah kepada kejahatan dan kejelekan yang mana ia perlu diawasi dan dijaga serapinya sepanjang masa. Hati adalah anggota badan yang sangat sensitif dan menjadi idaman kepada pelbagai virus untuk bertapak dan menghancurkan sistem diri.

Sekiranya seketul daging ini tidak dijagai dan diawasi maka ia akan selamanya ditakluki Iblis dan sekiranya ini berlaku maka kita akan dipandu bukan lagi oleh hati nurani tetapi dipandu oleh Iblis. Iblis pula tugas dan tanggungjawabnya ialah mengajak kejahatan – menyekutu Allah, mensyirikan Allah dan memberi ilham dan idea melakukan kejahatan dan kemusnahan kepada keharmonian hidup manusia sesuai dengan janjinya kepada Tuhannya.

Mungkin bila disebut hati dan menterjemahkan maksud hadith diatas itu kita akan menghalakan pemahaman kita kepada seketul daging seberat setengah kilo yang terletak di dalam tubuh di bahagian dada kita itu. Apakah itu yang dimaksudkan hati? Dan hati (seketul daging) itukah yang perlu dibersihkan, disuci dan disemakkan dengan menggunakan air dari telaga al-Kausar!

Sekiranya itulah hati yang difahami mungkin ia mudah untuk dikerjakan – dalam membersihkan diri dari mengelak dikuasai oleh kejahatan. Kita boleh saja membedah tubuh kita untuk membersihkan ketulan daging itu dari segala macam kotoran. Mudahkan?

 Tetapi hati yang disebutkan Qalbu atau Qalbun itu bukan daging seketul seberat setengah kilo itu sebenarnya. Seketul daging itu hanya simbolik kepada Qalbun tetapi itu bukan hati yang hakiki. Ia hanya sebahagian komponen diri fizikal saja yang berperanan untuk mencernakan diri kita dengan fungsi-fungsi fizik secara biologis.

Adapun apa yang dimaksud hati atau Qalbun yang memiliki berbagai rasa; sedih, hiba, gembira, bahagia, bangga, takut, cemas yang bertindak menjadi stereng itu bukan daging seketul itu. Apa apa yang dimaksudkan dengan hati itu adalah rasa-rasa, perasaan yang menguasai seluruh diri kita itu.

Rasa-rasa dan perasaan inilah yang disebut hati atau pun intipati atau stereng kepada diri kita – hati nurani. Rasa, perasaaan, naluri, semangat, jiwa, keinginan dan apa-apa inilah yang bercantum kemudian menjadi hakiki hati.

7 Muharam 1431 : Khamis.

Apa Yang Perlu Dilakukan Setelah Menjadi Ahli Siasahdiri?

Posted December 8, 2009 by siasahdiri
Categories: Uncategorized

KALAU sebagai ahli siasah duniawi seseorang itu perlu bertanggungjawab untuk memperkasakan badan siasahnya maka begitu jugalah dengan siasah ukhrawi. Kalau sebagai ahli siasah duniawi seseorang ahli itu harus menjaga tatacara siasah berkenaan, ahli kena jaga intergriti siasah dan diri sendiri. Ahli kena tunjukkan perangai baik dan menjadi model kepada ahli-ahli lain, ahli kena mencerminkan sejauh mana intergriti dan wibawa sesebuah badan siasah itu agar menjadi ikutan dan teladan ahli lain. Nah.. begitu jugalah dengan siasah diri. Ahli kena berperanan untuk memperkasakan cawangan siasah diri dalam dirinya. Dalam konteks ini hati dan akal kena menjadi role model kepada anggota lain.

Apakah yang harus dilakukan?

Dalam hubungan ini seseorang itu kena jaga diri bathinnya. Bukan saja untuk mempamerkan kebaikan, akhlak, tetapi hendaklah menghayati kebaikan dan akhlak itu. Penghayatan ini bukan di depan publik, tetapi tatkala bersendirian juga. Kalau hanya menunjuk di depan umum itu namanya munafik. Malahan penghayatan tatkala bersendirian ini lebih penting dan awla. Maksudnya kalau kita hendak beramal biarlah alam dan mahkluk lain tidak mengetahui yang kita sedang beramal.Apa dimaksudkan di sini beramal, berbuat baik bukan untuk ditunjuk tetapi untuk dinilai dan dirahmati.

Setiap ahli juga harus bertanggunjawab dan berperanan demikian. Cawangan siasah diri dalam diri perlu diperkuatkan sepanjang masa. Jika tidak diperkuatkan ia tidak memberi apa-apa makna. Maksud untuk membentuk kerajaan peribadi dan untuk memerintah sendiri tidak akan berlaku. Kerajaan peribadi menerusi siasah ukhrawi akan terbentuk apabila kita dapat menguasai diri kita – membentuk Kerajaan Peribadi.

Untuk tujuan ini beberapa perkara dilakukan. Perkara paling pokok ialah membersihkan diri. Menyucikan diri zahir dan diri batih, rohani dan jasmani. Selepas kita kenal diri, tahulah untuk membersih diri. Ruang mana dan tempat mana yang kita perlu bersih. Mana-mana anggota yang perlu disamak kemudian disucikan.

Bila sebut bersih, apakah peralatan, sabun, dan perkakas untuk membersihkannya. Umpama mencuci sesuatu benda, kalau tidak menggunakan penyental ia tidak akan bersih dan suci. Lumut dan daki akan tetap kemen dan mati di situ.

Sebelum kita berbicara soal alat-alat untuk memberikan diri, elok kalau kita mengenali apakah kekotoran di dalam diri. Diri yang kita anggap mulia ini sebenarnya kotor dan cemar penuh dengan noda dan dosa. Manusia memang mulia, tetapi kalau tidak kena gaya, manusia itu akan menjadi sehina-hinanya lebih hina daripada binatang.

Selain daripada akal, jiwa dan roh dalam diri kita ada nafsu. Nafsu adalah menjadi engin kepada pergerakan kita. Kemahuan, selera, keinginan, seksual adalah nafsu yang merajai diri kita. Tanpa nafsu kita menjadi lesu dan tidak bergerak seperti kayu mati dan tanah kol.

Nafsu ini ada tujuh peringkat atau tujuh nama. Ia dibahagikan kepada tahap-tahap berikut. Ia seperti sebatang pokok bermula dari akar sampailah ke pucuk yang menjulang langit. Komponen nafsu ini harus dikenali satu persatu membolehkan kita tahu dan bagaimana untuk menggunakan nafsu untuk melayari kehidupan lebih bererti. Bila kita mengenalinya mudahlah juga untuk kita mengenali tahap dan martabat diri kita.  “Sesungguhnya Kami telah mencipta ke atas dirimu tujuh jalan (nafsu) dan Kami tidaklah lengah terhadap ciptaan”, Surah Al Muminum ayat 17.

1. Amarah

Nasfu yang dikatakan paling jahat. Sebenarnya tanggapan itu salah. Tidak ada kejahatan dalam apa-apa juga kejadian Allah kepada kita. Kerana nafsu inilah yang membuka selera kita untuk dunia. Nafsu akan menterjemahkan tingkah laku hati – dalaman kita. Nafsu ini akan mempamerkan perangai dan segala sifat mazmumah yang terhimpun dalam diri kita baik secara sedar atau pun tidak. Kerana nafsu inilah juga kita melata di atas dunia ini.

2. Lawamah

Nafsu ini ibarat pemberi isyarat. Ia bertindak menjadi penilai antara sifat buruk dan baik. Ia juga boleh dianggap sebagai penapis atau filter dalam diri. Selalunya nafsu ini akan menyaring sifat-sifat buruk dan sifat baik yang diwujudkan oleh amarah.

3. Mulhamah

Mulham tingkat nafsu ketiga. Tingkat Mulham ini berkedudukan lebih baik daripada dua nafsu di atas. Nafsu ini selalunya dimiliki oleh mereka yang sedang mencari jalan menuju hakiki. Para ahli syariat, tariqat, hakikat dan marifat. Mereka yang dikuasi nafu ini berlebihan menjadikan mereka tidak berapa peduli kepada soal keduniaan. Ahli zikir biasanya lebih hampir dan dikuasai nafsu ini.

4. Mutmainah

Peringkat nafu yang membawa seseorang itu tenang dan damai. Inilah nafsu yang tenang dan didambakan banyak manusia. Mereka yang menduduki peringkat nafsu ini tidak berserabut dengan dunia. Sifat-sifat mazmumah sudah terhindar dari dirinya. Rasa bimbang, takut, gobal dan resah kepada soal hidup sudah tidak ada lagi kepada mereka yang sampai ke martabat nafsu ini. Seseorang mencapai makam nafsu ini akan menyerahkan kehidupan seratus peratus kepada Allah, penciptanya.

5. Rodhiah

Rodiah nafsu ke lima adalah terhasil kepada dari proses ke empat nasfu di atas. Pemilik nafsu ini ianya umpama sebuah kolam yang airnya jernih. Kejernihan itu bukan saja dapat mengembalikan bayangan, tetapi dapat melihat ke dasar kolam berkenaan. Diri orang Rodiah bolehlah disifatkan sebagai sekeping cermin besar yang boleh menampakkan sejuta wajah dari dalamnya. Nafsu inilah yang mengenalkan diri seseorang dengan dirinya sendiri.

6. Mardiah

Nafsu yang mana menjadikan seseorang itu sudah hilang dari pandangan dunia ini. Pemiliknya atau mereka yang mencecah ke tahap ini tidak lagi merasakan hidup di atas dunia maya ini. Dia juga menjadi gila atau zouk dengan keasyikan yang dia sendiri yang mengetahuinya. Justeru itu ia akan dianggap sebagai manusia yang tidak normal. Sifat, kelakuan dan fiil perangainya bertentangan naluri manusia amarah.Keadaan ini menjadikan pemilik nafsu ini akan disalah anggap.

7. Kamaliah

Adalah kemuncak kepada tahap nafsu. Jika nafsu itu diibaratkan sebagai sebuah gunung, Kamaliah adalah puncuk gunung berkenaan. Tempat paling tinggi, paling besar, paling hebat sehingga berada di atasnya dapat melihat setiap lembah, gaung, dataran, lautan dan sebagainya.

Kamaliah adalah kemenangan dalam kehidupan seseorang makhluk bernama manusia. Setelah kita mengenali martabat atau tingkat nafsu itu maka senanglah untuk kita melakukan pembersihan dan penyuciannya. Maka sebelum kita mencari alat untuk menyucikan diri kenali dulu bahagian atau komponen yang ingin kita suci dan samakan. Apabila kita mengetahui tahap dan martabat nafsu itu maka dapatlah kita mengukur keadaan dan kondisi diri kita.

21 Zulhijjah 1430 : Selasa.

Proses Untuk Menjadi Ahli Siasah Diri

Posted December 1, 2009 by siasahdiri
Categories: Uncategorized

SYARAT atau peraturan untuk menjadi ahli atau member siasah diri tidak rumit dan tidak banyak bahkan, tidak pun memerlukan syarat yang tidak memungkinkan sesiapa saja untuk tidak dapat hendak menjadi ahlinya. Sesiapa saja boleh ‘mendaftar’ menjadi ahli. Tidak ada syarat-syarat tertentu yang perlu dipenuhi. Ia juga tidak memerlukan yuran. Tidak payah pencadang dan penyokong. Tidak payah menyertai cawangan, bahagian, cabang atau kawasan. Tidak payah menghadiri mesyurat peringkat negeri dan kebangsaan. Tidak ada korum tertentu untuk melayakkan tertubuhnya ‘cawangan’ siasah diri di dalam diri seseorang.

Keahliannya terbuka sesuai dengan dasar langit terbuka dan global yang menuntut manusia agar mendalami semua aspek ilmu.

“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah yang paling pemurah, yang mengajar (manusia) dengan perantara kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.”  Surah al-Alaq ayat 1 hingga 5.

Pengerti baca di sini menunjukkan kebebasan, keadilan dan kebenaran. Sesiapa yang inteligen akan dapat menikmati apa yang dibentangkan Tuhan atas dunia ini. Bahawa ilmu itu sangat luas dan ia diberikan percuma kepada sesiapa yang pandai mengambil kesempatan darinya.

Kerana itu sesiapa yang membaca, mengkaji, menyelidik, merumuskan ia akan mendapat manfaat besar. Ia akan mendapat sesesuatu yang orang lain tidak dapat. Ghalibnya mereka yang senang, berlapang dada dan tidak mudah sesak nafas itu ialah mereka yang suka dan banyak membaca!

Mengenai keahlian siasah diri dan ukhrawi ini, kalau pun boleh dikatakan syarat, syaratnya hanya satu sahaja. Iaitu asalkan dia manusia (insan) ia boleh menjadi ahli siasah diri secara automatik. Dia boleh mendaftarkan diri terus secara on line untuk menjadi anggotanya dan mengikhtiraf dirinya sendiri.

Keperluan paling minimum ialah dia manusia, yang ada kesedaran alias keimanan. Yang mengenali dirinya, kenal akan dia adalah makhluk Allah. Kepunyaan Allah. Hidup dan matinya kerana Allah. Tahu tanggungjawab dan amanah yang pencitpa serahkan kepadanya.

Hanya manusia sebegini yang layak menjadi ahli siasah diri. Manusia. Saya tegaskan manusia. Bukannya orang. Orang adalah satu perkara berbeza dengan manusia. Sesetengah kita mengira manusia dan orang itu adalah makhluk yang sama. Sebenarnya tidak. Orang bukan manusia dan manusia itu bukan orang! Anih ya? Inilah perbicaraan dalam siasah diri penuh dengan keanihan dan keluarbiasaan. Mari kita berfikir daripada kebiasaan kepada keluar biasaan bagi mencari sesuatu yang luar biasa atau hakiki. Selama itu kita berfikir menurut kelaziman maka selama itulah juga kita tidak berkembang dan tidak dinamik.

Apakah bezanya orang dengan manusia? Dari segi anggota tubuh badan sama sahaja. Orang ada dua kaki, manusia ada dua kaki. Orang ada satu hidung manusia juga begitu. Begitu juga dengan pancaraindra-pancaindra lain. Tetapi kalau kita mendalami, akhirnya kita akan tahu juga perbezaan antara manusia dengan orang ini. Ia satu perbezaan yang realtif.

Sebenarnya diri kita ini berlapis-lapis ada sekurang-kurang tiga lapis atau tujuh lapis atau pun mempunyai lapisan yang tidak terbilang.

Bulu-bulu, kulit, urat (otot), darah dan daging. Itulah komponen fizikal (jirim) kita yang dinamakan orang. Sebaliknya manusia mempunyai lapisan yang halus dan zeni lagi tidak berjirim dan berjisim! Ada nafas, nyawa, (tanafas) dan ada akal ada jiwa dan roh. Kita kadang-kadang jarang memikirkan hal ini. Apa yang kita tahu hanya nafas, tanafas atau akal saja tetapi tidak mahu berfikir soal roh. Apakah roh?

Kita selalu nampak perbezaan kita dengan haiwan ialah mereka ada otak tetapi tidak ada akal. Manusia pula ada keduanya sekali. Tetapi jangan pelik ada manusia (sebenarnya orang) yang ada otak sebesar otak lembu tetapi tidak mempunyai akal? Orang begitu sama darjahnya dengan haiwan.

Mengenai makhluk bernama ‘orang’ ini ia tidak akan membawa dirinya ke mana. Selepas terpisah nyawa (roh) dengan jasad maka orang akan tinggal reput dan sirna ditelan bumi. Makanya ia tidak layak menjadi ahli siasah diri. Orang hanya sesuai menyertai siasah duniawi, menyertai parti-parti politik yang ada di dunia ini yang tergila-gila membangunkan dunia semata-mata.

Kerana itu orang ini dijadikan momokkan menjadi ‘orang-orang’ yang berguna untuk menghalau unggas dan burung yang makan padi di sawah. Pergi ke sawah yang duk tercegak di tengah sawah mendepa tangan dan pakai topi robek dengan muka berjerabu… itulah orang-orang.

Orang adalah hantu tidak lebih daripada itu. Makanya hantu tidak layak untuk menjadi ahli siasah ukhrawi!

Orang tidak sanggup menerima rahsia dan amanah Allah, melainkan manusia yang hebat dan ego, sedia menerima amanah Allah. Takala Allah hendak menyerahkan rahsia alam ini, (di luh mahfuz) hanya manusia yang menyatakan kesediaanya. Allah tawarkan kepada bukit bukau, gunung ganang, semuanya menolak. Tetapi bila ditawar kepada manusia, manusia sanggup. Gara-gara keegoaan itulah manusia dipandang mulia dan mempunyai khazanah rahsia Allah yang banyak.

Peristiwa ini tertuang dalam firman Allah surat Al-Ahzab ayat 72: ”Sesungguhnya kami telah menawarkan amanah kepada langit, bumi, dan gunung-gunung, tetapi semuanya menolak, dan mereka merasa berat serta khawatir akan menghianati amanah tersebut. Lalu amanah itu diterima oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh.”

Sebenanrnya disebabkan kita ego dan agah menerima rahsia itulah menyebabkan kita jadi seperti hari ini. Suasah. Tidak seperti laut, gunung ganang dan binatang. Kita kena jadi khalifah, memimpin dunia ini. Sebab itu kita memakan tanaman, haiwan dan mereka tidak memanfaatkan kita untuk menjadi habuannya. Disebabkan kerana ego itu jugalah menyebabkan kita dianggap mulia pada sisi Tuhan.

Penerimaan amanah itu disusuli terlebih dahulu dengan persaksian manusia dengan Tuhannya di alam azali – luh mahfuz. Tuhan telah menanyai manusia apakah aku ini Tuhanmu, maka jawab manusia bahkan, (benar) kaulah Tuhanku. Manusia (kita) telah memperakui Dia adalah Rabb, manusia telah mempersaksikan itu di luar duniawi ini lagi.

Persoalan kini ialah kita mahu kembali kepada suasana yang asal itu. Dalam fitrah kita dalam bersih, luhur dan kudus. Mahu mengembalikan diri seperti mana sebelum dizahirkan ke dunia ini. Di mana kita pada waktu itu dalam keadaan putih bersih laksana bayi yang belum ternoda dengan noda duniawi.

Hanya dengan menyertai siasah diri ini saja memungkinkan kita dapat mengembalikan kita kepada fitrah asal. Adapun siasah duniawi seperti mana hari ini tidak menjamin untuk membawa kita ke gerbang itu. Pengisian, aktiviti siasah duniawi tidak terarah kepada itu. Malahan kita makin kotor dan makin bergeluamang dengan selut duniawi dan kesombongan amarah yang menggunung.

Siasah dunaiwi ini hanya layak untuk membawa kita jauh dari pada keadaan itu.

13 Zuhijjah 1430.

Perbezaan Siasah Duniawi Dengan Siasah Diri?

Posted November 28, 2009 by siasahdiri
Categories: Uncategorized

SEBELUM kita berbicara lanjut elok rasanya kalau diberikan serba ringkas pengertian atau difinasi apakah yang dikatakan siasah duniawi dan siasah diri dalam konteks penulisan ini? Apakah perbezaanya dan sejauh manakah perbezaan itu.

Siasah duniawi adalah siasah seperti mana yang difahami dan menjadi amalan dan kegilaan umum hari ini. Siasah untuk mendapatkan kuasa memerintah negara ini. Siasah untuk menjadi wakil rakyat, kemudian dilantik menjadi menteri, menteri besar atau perdana menteri.

Tujuan memerintah negara adalah untuk melaksanakan apa yang menjadi dasar dan prinsip yang diperjuangkan badan-badan siasah berkenaan seperti mana yang tertera dalam perlembagaan tubuh badan-badan siasah tersebut. Untuk tujuan ini macam-macam nama badan siasah diwujudkan dengan pelbagai ragam, rentak dan gaya. Pelbagai simbol dan cogan pula diguna pakai sebagai perencaman badan siasah berkenaan.

Badan-badan ini juga membawa berbagai ideologi ataupun aliran pemikiran yang mana idealogi dan aliran pemikiran ini menjadi perbezaan antara satu sama lain. Sementara bagi mencapai kejayaan itu berbagai tektik dan strategi (politik – tipu muslihat) diguna pakai bagi memancing undi rakyat. Secara dasarnya semua mempunyai niat baik.

Tujuan dan matlamatnya lebih kurang saja, sama. Kalau berbeza ialah pendekatan yang diambil. Ada yang mengambil secara inklusif dan ada secara holistik. Untuk menjayakan masing-masing mencari taktik dan stretegi tersendiri. Dalam pengambilan uslud atau kaedah ini kebanyakan adalah modifide daripada berbagai badan siasah dan gerakan dunia yang pernah wujud yang telah berjaya ataupun yang sudah gagal. Dalam pada itu untuk dijadikan umpan atau daya tarikan ada yang menjadikan kepentingan sosial sebagai modal utamanya.

Ada yang menjadi semangat nasional sebagai matlamat perjuangan. Ada yang menjadikan hak sosial sebagai teras perjuangan.  Tidak kurang juga ada yang menjadi agama sebagai modal dan umpan untuk menarik perhatian umum. Semua itu adalah topeng-topeng yang diguna pakai untuk mempengaruhi orang ramai agar menyokong badan siasah berkenaan.

Selalunya bila mereka mendapat kuasa atau menang lain jadinya. Matlamat seperti mana digariskan tidak mudah untuk dilaksanakan. Untuk menjustifikasi supaya  tidak menimbulkan kemarahan dan menjadi persoalan para pemilih akan dikemukakanlah alasan dan dalih-dalih tertentu. Walhasilnya pemilih dan rakyat tertipu.

Untuk mencapai kejayaan ini, badan siasah duniawi ini tidak peduli apakah strategi dan tektik itu baik, tepat atau sebaliknya. Mereka tidak kira apakah ianya bertentangan dengan nilai-nilai hidup; ikhlas, jujur, benar, tawaduk, istiqamah atau sebaliknya. Ada kalanya untuk mendapat kemenangan mereka sedia melakukan nilai-nilai buruk; adu domba, fitnah, rasuah, jatuh menjatuh dan seagainya. Malahan ada yang lebih sadis dan kejam dari itu sehingga membunuh.

Pemain siasah duniawi ini tidak akan peduli kepada nilai-nilai luhur itu melainkan apa yang dipentingkan mereka akan mendapat kemenangan. Kemenangan adalah matlamat bagi mereka. Mereka tidak akan merasa aib dan malu sedikitpun kalau mereka telah melanggar perinsip asas manusia seperti mana yang disyariatkan ke atas diri mereka.

Bagi mereka itu adalah satu perkara biasa yang sudah menjadi darah dagingnya. Sebab itu dalam siasah duniawi manusia sudah hilang identitinya sebagai hamba Allah. Di sinilah, jika kita merendahkan diri, mengembalikan diri kepada fitrah asal kejadian iaitu untuk mendapat keredhaan Allah (mardthatilah) kita akan mulai merasa jijik kepada siasah dunaiwi ini. Kita akan mula mempertikaikan apakah apa yang dianjurkan itu menempati dengan syariat dan penzahiran kita atas dunia ini.

Apakah kita dikehendaki bergelumang dengan segala sifat-sifat kufur itu? Berdasarkan konsep itu maka jelas siasah duniawi tidak menjamin untuk membawa manusia kembali kepada fitrah asalnya, sebagai hamba Allah dan khalifah – pemimpin di dunia ini seperti mana dimaksudkan; ‘Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: ”Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” Mereka berkata: ”Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?”. Tuhan berfirman: ”Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”(Al-Baqarah:30).

Manakala dalam firman lain Allah menyebut dan menegaskankan; “Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu (Allah).” (Surah az-Zarriyat, ayat 56). Apa yang dimaksdukan mengabdikan diri ialah mematuhi, menghormati, menjunjung segala titah perintah-Nya dan redha atas apa yang ditakdirkan. Selain itu berpegang tanpa keraguan dan melaksanakan amanah-Nya.

Maksudnya, ini peranan dan tugas dan tanggungjawab selaku pemimpin. Mana-mana pemimpin atau orang perorangan yang mengabaikan itu, tidak mengabdikan diri, maka dia terkeluar dari keadaan yang sebenarnya. Firman Tuhan ini menjelaskan dengan jelas dan nyata akan matlamat dan tujuan kejadian manusia. Manusia dizahirkan untuk menjadi khalifah di atas muka bumi ini. Memimpin seluruh isi alam maya ini. Menjaga seluruh cakerawala di angkasa lepas. Mencakupi alam zahir dan alam saghril. Dan manusia itu lebih baik dan mulia dari segala mahkluk lain termasuk malaikat yang dijadikan daripada cahaya dan telah bertasbih kesekian lama kepada Tuhan.

Sudah pasti sifat dan matlamat asal kejadian ini tidak bererti lagi kalau manusia melupai asal usul maksud kejadiannya. Kalau mereka bergelumang dan bercepuah dengan sifat-sifat keji (mazmumah) dan tercela itu. Kalau mereka juga berperangai macam syaitan dan iblis.Identiti kehebatan dan keagungan manusia itu tiada sama sekali.

Secara dasarnya manusia perlu mementingkan kepada kebersihan, kebenaran, keadilan, keikhlasan dan kesucian yang mencakupi zahir dan batin. Bersih diri sendiri dan bersih di luar diri semasa bergabung dengan manusia lain. Benar kepada diri sendiri dan benar juga kepada khalayak. Adil kepada diri sendiri dan adil juga kepada orang ramai. Ikhlas dan suci kepada diri sendiri dan ikhlas dan suci juga kepada umum. Dan kalau ini menjadi prinsip secara automatik kita akan menolak siasah duniawi yang kotor dan hina itu. Siasah diri – siasah ukhrawi.

Adapun siasah diri adalah siasah ukhrawi ialah untuk membawa seseorang itu kembali ke fitrahnya sebagai manusia yang dijadikan dengan sebaik-baik kejadian. Mengembalikan taraf dan darjatnya sebagai khalifah di atas muka bumi ini. Siasah ukhrawi untuk memastikan manusia yang dizahirkan dalam fitrah bersih dan suci ini kembali berkuasa ke atas dirinya dengan bersih dan putih juga seperti awal ‘tak mula dung’ semata-mata untuk menghadap penciptanya, Allah Azzawajalla.

Bagaimana dia datang (disyariat) dulu maka begitulah pula diakan dipanggil pulang. “Dari Aku kamu datang dan kepada aku jualah kamu akan kembali.”

Siasah ukhrawi bukan saja mecari kebaikan dunia dengan cara yang halal, tetapi memastikan diri kita berjaya dan menang untuk membina kerajaan di akhirat besok. Bila di sebut kerajaan bukan kita untuk menjadi ketua, tetapi kita dapat menjadi raja kepada diri kita sendiri setelah kematian kelak.

Kita berkuasa ke atas diri kita sendiri. Setelah kita berkuasa ketika itulah kita dapat membawa diri kita kembali keribaan Khalid yang mencipta kita seperti asal tak kala mula. Sesungguhnya perbezaan siasah duniawi dengan siasah ukhrawi itu begitu besar dan luas sekali penaka berbezanya jarak antara bumi dengan langit. Penaka putih dengan hitam.

Mengenai jarak ini dalam ukuran fizik ia tersangat jauh dan kontras, tetapi dalam ukuran makrifah ia tersangat dekat malahan sebati. Ertinya saling ada hubung kait antara satu sama lain. Siasah duniawi menjadi jambatan untuk membangun siasah diri. Dan siasah diri menjadi jambatan membangun siasah duniawi!

11 Zulhijjah 1430 : Sabtu

Melupai Politik Duniawi Kembali Ke Politik Diri

Posted November 27, 2009 by siasahdiri
Categories: Uncategorized

 HARI ini terlalu banyak sangat kita bercakap fasal siasah; siasah kenegaraan, siasah keduniaan, siasah kehidupan, siasah kepuakan (parti-parti) dan macam-macam bentuk dan jenis siasah lagi. Tetapi ternyata kita kurang sekali bercakap mengenai siasah kedirian – mengenai diri kita peribadi. Hidup kita kadang-kadang seolah-olah hanya melihat kuman nun jauh di sebarang tetapi tidak nampak gajah yang berjoget di depan mata. Seolah-olah kita begitu obses melihat kepada kehidupan duniawi, tetapi alpa melihat kepada diri sendiri untuk menujuk ke ukhrawi?

Kedang-kadang aku sendiri tidak tahu apakah aku juga perlu bercakap fasal siasah keduniaan itu? Siasah manusia sama manusia dengan mengalpakan terus untuk melihat siasah diri aku dengan Tuhan aku. Walhal aku bukan ingin menjadi wakil rakyat yang sebahagian orang menjadikan jawatan itu sebagai sumber cari makan, sumber untuk memihara anak isteri dan keluarga. Atau menjadikan satu pekerjaan dan kerjaya untuk hidup. Bukan lagi wadah untuk melanggani siasah diri (jihad) bagi menunju ke akhirat. Jauh sekali untuk dijadikan medan dan ruang untuk berbuat kebajikan kepada Allah s.w.t. seperti mana dituntut ke atas hamba-Nya.

Sebenarnya aku sendiri sudah lama tidak yakin dengan siasah duniawi akan membawa aku ke tempat yang aman dan damai serta hakiki. Siasah duniawi dalam bacaan dan tilikkan aku adalah sebuah gelanggang kemelut. Satu medan polimek tidak ada kesudahan. Yang semuanya akan membawa ke mahsyar pertempuran kebijaksanan manusia konon.

Kebijaksanaan? Sebenanrya bagi aku ia adalah kebodohan nyata. Apa yang diistilah dan dianggap bijak itu adalah bodoh. Sebab bijaksana ialah berhak digunapakai kepada mereka yang berfikir untuk membawa kebaikan, perdamaian, menghentikan perang, membangun dunia dan membangun dunia diri peribadi orang itu sendiri yang seterusnya membebaskan dia dengan Allah. Maksud bebas di sini menghalangkan dia dari hijap-hijap dia sebagai mahkluk dengan penciptanya. Tanpa hilang hijap ini hamba tidak akan dapat ‘berjabat’ tangan dengan penciptanya. Selamanya hanya Dia yang mengenali kita tetapi tidak ada timba balas mengenalinya.

Bukan bijaskana kalau boleh menjatuhkan kawan di dalam gelanggang atau di luar gelanggang. Bukan bijaksana kalau hanya membina kekuatan duniawi diri sendiri. Bukan bijaksana kalau mendapat mandat tetapi tidak digunakan mandat untuk membantu menyelesaikan segala tuntutan ke arah menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran. Bukan bijaksana kalau diri kita dan kroni saja kaya, senang, sedangkan rakyat dan masyarakat miskin papa kedana dan hidup melarat merempak. Kebijaksanaan siasah begitu adalah kebodohan dan kebongakkan!

Jadi setelah aku menyedari dan menolak siasah sedemikian sejak lebih 25 tahun lalu kenapa aku masih perlu bercepuah dengan selut hanyir siasah keduniaan demikian? Bukankah aku melakukan sesuatu yang sia-sia. Tidakkah melakukan yang sia-sia, bukan haq dan mengcapai hakiki itu perbuatan syaitan? Ke bumi tak jejak ke langit tak capai. Bukakah begitu?

Aku sering berkata dan menjelaskan kenapa aku tidak percaya kepada siasah duniawi atau kebendaan ini kerana ia tidak boleh memberi keselamatan baik duniawi dan ukhrawi. Mudah saja analogi aku. Sesuatu yang baik, jernih, hak, mutlak dan benar itu tidak akan lahir dari sistem yang kotor, jumud, jahat, bernoda. Anak yang baik akan lahir dari benih yang baik. Aku sering berkata, anak ayam itu tidak akan menetas dari telor itik kandatipun ianya diram oleh ibu ayam. Kalau telor itu telor itik, seribu kali diram oleh ibu ayam yang akan tetas nanti adalah anak itik juga.

Berdasar logik itu maka aku tidak percaya kalau sistem demokrasi yang digunakan untuk mentadbir negara hari ini dapat membawa kebaikan, kepada ummah manusia. Makanya selama ini baik aku atau sesiapa yang menerima pakai sistem berkenaan tertipu hidup-hidup. Mengharap kesejahteraan duniawi dan ukhruwi daripada sistem demokrasi samalah mengharapkan air di tengah padang pasir. Fotomorgana sama sekali tidak boleh menghilangkan haus yang meleket-leket di tengok si musafir di padang pasir.

Adalah amat bodohnya aku kalau meneruskan sesuatu yang aku sudah pastikan ianya sia-sia. Orang yang menanam angin ia akan menunai asap. Manakala orang yang menanam mimpi dia akan menunai khayal. Manusia sebegini adalah serendah dan sekosong-kosong manusia. Manusia sebegini jauh daripada menempati apa yang Khaliq jelaskan dalam surah At Tin ayat 4  yang bermaksud: “Sesungguhnya kami telah jadikan manusia itu dengan sebaik-baik kejadian”.

Kemuliaan itu hanya pada pernyataan. Pada pengakuan Penciptanya tetapi bukan pada diri manusia itu. Ia tidak boleh menganggap dirinya mulia, agung, hebat daripada makhluk lain sekiranya ia tidak mengetahui erti dan makna kemuliaan itu. Lebih sedih lagi kalau ia tidak dapat mengembalikan kemuliaan itu kepasda Khalaqnya sendiri. Makanya taraf dan tahap kemuliaan makhluk sedemikian samalah dengan makhluk lain yang tidak dinyatakan sebagai mulia. Sama dengan kucing, lembu, kerbau, ayam, itik, gajah, harimau dan lain-lainnya.

Bab kehampaan kemuliaan diri yang tidak diketahui hakikatnya ini samalah nasib seseorang yang hanya mengakui keindahan sesebuah bandaraya di dunia ini daripada pembacaan, melihat video, youtube dan maklumat umum. Misalnya ia mengetahui betapa indahnya bandar raya San Francisco, Colifornia menerusi foto dan video. Betapa mata dan akalnya dapat mengkhayalkan itu namun keindahan sebenar tidak dapat dinikmati secara fizikal selagi ia tidak pergi sendiri ke Amerika Syarikat untuk melihat ketakjuban bandaraya berkenaan. Setelah dia sampai dan melihat sendiri kelipan neon di San Fransicso itulah baru keindahan yang dikisahkan itu dapat disahkan.

Jadi adalah elok kalau aku hendak, atau kurangkan bercakap mengenai siasah keduniaan itu. Anggaplah atau biarkan persoalan siasah keduniaan itu kepada manusia lain yang gila dan mabuk mengenainya. Serahkan siasah kepada si gila kebudayaan dan keseniaan! Biarlah dia zouk di dalamnya. Kalau dia menggilai rebana atau kertuk biarlah ia memalu dan memukul rebana itu sampai jari jemarinya pecah dan melecur. Kesakitan itulah nikmat baginya meskipun ia sesuatu yang mudaratkan. Biarlah dia memukul rebana itu sampai kain sarung terlondeh dan mendedahkan rahsia dirinya. Itulah kepuasan baginya walaupun kepuasan itu menjatuhkan martabat dan moralnya.

Maka aku rasa sudah sampai kalau aku memalingkan perbicaraan kepada soal ini. Soal siasah kedirian pula dalam rangka persiapan membangun kerajaan peribadi. Biarlah siasah duniawi untuk membangun kerajaan dunia diserahkan kepada si gila dan si mabuk itu semuanya. Uruslah. Lagipun hidup ini ada bahahagian masing-masing yang telah ditetap dan ditentukan Tuhan mengikut qadar dan qadak-Nya. Mengikut keadaan dan masa-masanya.

Sesungguhnya aku sudah terlali sangat jauh. Sudah hampir tidak kelihatan pengkalan sejati – pengakhiran dan kebenaran kehidupan yang ingin ditujui. Ini semua ialah kerana adanya kabus dan asap merentang lautan perjalanan yang mengelirukan mata dan membiuskan ilusi. Pun begitu aku masih bernasib baik kerana tidak teroleng-oleng jauh ke arah tipuan angin ribut yang bergerak tanpa haluan itu. Masih tersedar dan bungkam membetulkan semula layar dan menegakkan kompas perjalanan menuju kiblat kebenaran.

Dikerana terlalu obses kepada pembangunan duniawi, siasah kenegaraan dan keduniaan sehingga terlupa kepada kepentingan diri. Alpa kepada siasah diri untuk membentuk kerajaan peribadi. Kerajaan peribadilah yang bakal membawa kita ke alam damai. Apabila kita sudah berjaya membentuk kerajaan peribadi maka barulah bebas dan merdeka dari segala kuasa.

Kerajaan peribadi umpama bekas untuk masa depan kita. Bekas ini adalah sangat penting dan perlu diutamakan. Perjuangan untuk membangun kerajaan peribadi ini perlu diutamakan dan lebih afdal. Kerajaan peribadi umpama bekas besar untuk kehidupan yang lebih besar kelak. Bekas ini perlu dipersiapkan sebelum adanya isi untuk meletakkannya.

Umpamanya kita harus menyediakan sangkar, sebelum mencari burung. Kerja-kerja mengikut peraturan ini mudah. Kerana kalau mencari burung dulu baru hendak berbuat sangkar, bukankah ianya menyusahkan kita. Waktu mana kita hendak buat sangkar, dan waktu mana hendak memegang burung.

Hendak tidak hendak terpaksa meletakakan burung dalam guni sementara sangkar belum siap. Atau sebelah tangan memegang burung dan sebelah tangan membina sangkar.  Bukankah itu satu kekejaman! Meletakakan burung dalam guni, yang terhimpit-himpit dan terkampit satu kezaliman. Zalim itu bertentangan dengan sifat-sifat dan perjuangan dituntut oleh Allah yang menuntut kebebasan dan keadilan. Lagipun orang yang bekerja tidak mengikut peraturan akan membeban dan menyusahkan diri. Dan orang membebankan dirinya sendiri tak ubah seperti kaldai yang mengangkat air bertahun-tahun untuk tuannya di atas gunung sedang dia tetap juga meminum air dari parit atau lopak di cerung huma.

10 Zuhijjah 1430 : Jumaat.

Salam Perkenalan

Posted November 27, 2009 by siasahdiri
Categories: Uncategorized

SYUKUR…Alhamdulilah kita kepada Allah s.w.t. yang terus memberi taufik dan hidayah-Nya dan membuka pintu kalbuku untuk mencatat dan meluahkan segala isi hati di sini – menerusi blog ini yang dinamakan siasahdiri. Biarlah kalau segala catatan dan apa yang diluahkan di di sini tidak akan menjadi bahan renungan umum tetapi cukup sekadarnya ia sebagai sebuah rekod khazanah ilmu dari aku menurut kadar dan qadak yang ditetakan Allah.

Blog ini dikhaskan  untuk aku mencatat mengenai kedirianku sendiri dengan Allah. Mentafsirkan kebesaran Allah dan mencungkil segala maksud dan erti makhluk ini. Melongkar akan rahsia kejadian diri, tujuan kejadian aku dan juga tanggungjawab yang harus aku pikul sebagai mahkluk bernama manusia.

Catatan ini semata-mata berpandukan kepada pengalaman dan penghayatan zahir dan batih diriku sendiri.

Catatan ini terbuka untuk diaca dan dihayati oleh sesiapa saja. Mereka yang minat dan ingin mengutik apa-apa manfaat darinya (jika ada) silakan. Paling diharapkan dengan perluahan ini akan menjadi umpan dan denak untuk aku lebih mengenali ilmu dan siasah kedirian aku (kita) seterusnya hakikat aku sebagai insan. Adalah diharap kepada sesiapa yang memiliki ilmu, mempunyai pengetahuan dan rahsia mengenai siasah kedirian boleh dikongsikan bersama demi manfaat bersama menerusi ruang alam ini.

Lupakan seketika siasah duniawi mari kita berhijrah ke siasah kedirian (siasah ukhrawi) yang suci lagi abadi.

Selamat mengikuti dan menghayati dengan penuh kejilahan jiwa dan rasa hati yang lapang dan minda terngangga.

KE ARAH MENGENAL DIRI DAN ALLAH,

 Hamba Allah yang naif lagi fakir,

Kuala Lumpur,

9 Zuhijjah 1430 : Jumaat.

Hello world!

Posted November 27, 2009 by siasahdiri
Categories: Uncategorized

Welcome to WordPress.com. This is your first post. Edit or delete it and start blogging!